Banjir: Tempahan hotel Pulau Pinang menurun
4 January 2022
GEORGETOWN: Keterujaan pengusaha hotel dan inap desa di Pulau Pinang yang menerima kunjungan luar biasa pelancong bulan lalu khususnya ketika bermula sambutan perayaan Krismas hingga cuti tahun baharu mungkin tidak berpanjangan.
Ini kerana Utusan Malaysia difahamkan, jumlah tempahan hotel dan inap desa di sekitar Pulau Pinang untuk sepanjang bulan ini kembali menurun sehingga 40 peratus berbanding tempahan diterima bulan lalu.
Mengulas lanjut, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, trend tempahan menurun itu dijangka berlarutan sehingga Februari depan ekoran beberapa faktor antaranya bencana alam di Lembah Klang dan sesi persekolahan yang akan kembali dibuka 10 Januari depan.
“Penurunan ini di luar jangkaan kita, dan nampaknya kita tidak dapat menyaksikan kerancakan ekonomi dalam sektor perhotelan seperti bulan Disember lalu.
“Semalam, kapasiti bilik di kebanyakkan hotel telah menurun antara 30 hingga 40 peratus dan kami jangka berpanjangan sehingga Februari nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, industri perhotelan di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan sehingga mencecah 80 peratus kapasiti bilik selepas rentas negeri dibenarkan Oktober lalu.
Dalam pada itu tambah beliau, industri perhotelan masih berdepan dengan masalah kekurangan pekerja di sektor 3D (sukar, kotor dan berbahaya).
“Rakyat tempatan tidak mahu bekerja di bahagian 3D ini dan kita telah lakukan pelbagai cara untuk mengambil mereka bekerja di bahagian ini namun tidak berjaya.
“Kami masih menunggu keputusan pihak kerajaan untuk membenarkan kemasukan pekerja asing untuk sektor 3D bagi menampung ketiadaan pekerja dalam sektor ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE
www.utusan.com.my/berita/2022/01/banjir-tempahan-hotel-pulau-pinang-menurun/